

aku masih berat hati, lebih kepada menjeruk rasa sebab tak dapat ikut ke KL. lambaian mak, bapak dan kak cik kepada kami yang masih bersusun di situ, di tangga rumah.
kakak dan beberapa rakan kak cik yang masih tinggal menyambung kerja-kerja mengemas, sisa daripada kenduri doa selamat malam tadi. pinggan mangkuk yang hendak dicuci, keadaan rumah yang masih berselerak. semua ada tugas masing-masing dan kedengaran sesekali gelak ketawa di antara mereka. aku, melayan fikiran sendiri, membuat apa yang patut. bukan pandai pun pasal kerja-kerja rumah ni sebab kakak ada. setakat tolong angkat itu ini selepas disuruh kakak. lebih baik pergi belakang rumah, kait mempelam, lagi sedap. pokok mempelam dengan buah-buah yang sedang meranum. antara yang terbaik pernah ku rasa sepanjang hayatku. boleh cicah dengan kicap nanti. "uissshhhh....kecor ayor lior."
"assalamualaikum", kedengaran beberapa kali suara seorang lelaki memberi salam. aku menjenguk. kelihatan dua orang anggota polis di tangga. "dik, nak tumpang tanya, ini rumah Cikgu Ghazali?" aku mengangguk. "ada sesiapa orang tua di rumah? mak saudara ke? siapa ke?" "tak de. kakak ada la", aku menjawab. "tolong panggil kakak la". aku terus berlari ke dalam mendapatkan kakak. apa yang bakal dikhabarkan kepada kami adik beradik oleh dua anggota polis selepas itu, mengubah hidup kami dengan sekelip mata. hanya kurang dari tiga jam tadi, kami telah mencium tangan mak, bapak, memeluk erat kak cik. kini, mereka telah tiada. mereka kemalangan dengan lori yang membawa motosikal di tanjung malim. mak dan bapak meninggal dunia di tempat kejadian. kak cik....koma, dan meninggal dunia tiga hari kemudian.
hari ini, 5 Julai 2011, genap 35 tahun mak, bapak dan kak cik meninggalkan kami. setiap hari ingat kepada mereka. mak dengan spek mata rim hitam, kebaya kota bahru pendek, berdiri di belakang meja kerja di kedai jahitnya. bapak dengan kereta mazda hijau, berspek gelap, rambut tersisir rapi, segak dan bergaya. kak cik....berang bila rumah bersepah, mewarna lukisan dengan tekun, geram membelah bamboo dengan parang bila ukirannya tak menjadi seperti yang dia mahu....haih..rindunya...
semoga roh mak, bapak dan kak cik ditempatkan bersama-sama orang-orang yang mukmin.
Al-Fatihah....